Wednesday, September 2, 2009

Bicara Dua Sahabat...(drama sebabak)

Yahoo MessengerAhad
11.05 malam

Setelah bertanya khabar dan bertanya itu dan ini, si rakan bertanya kepada rakannya.

"Kau ni peliklah. Dia tu macam tu tapi kau tetap suka dia. Boleh kau bagi aku 7 alasan kenapa kau suka dia," tanya si rakan.

Diam seketika.

"Aku tak perlu begitu banyak alasan untuk suka dia tetapi memandangkan kau dah bertanya, aku akan menjawab. Alasan pertama kerana dia dan aku berkongsi profesion yang sama. Kami sama-sama membangun bangsa."

"Tidakkah dari situ, kau seperti menilai dia? Maksud aku, bahan yang sampai kepada kau boleh kau gunakan untuk menilai dia?"

"Aku tidak melihatnya begitu. Aku menganggap aku meneruskan hasil usahanya. Dia sudah bersusah payah, aku tinggal meneruskan sahaja.Hasil akhir adalah usaha kami bersama."

Diam lagi.

"Ok, itu yang pertama. Yang kedua?"

"Yang kedua, kerana dia seorang yang cerewet..."

"Kau suka orang yang cerewet?"

"Kerana aku seorang yang tidak kisah. Bukankah itu mengimbangi? Cerewet dia penting agar aku sentiasa melakukan yang terbaik. Tidak kisah aku juga penting untuk meredakan keadaan."

"Kau memang mengarut. Sudah, yang ketiga?"

"Kerana dia kalkulator, dan aku sesuai sahaja menjadi panjar wang runcit."

"Tak faham. Jelaskan?"

"Dia berkira-kira dan aku pula seorang yang boros tak ingat. Aku perlu dia untuk mengawal aku. Supaya hujung-hujung bulan aku tidak sesak nafas...hehe."

"Ada sahaja...seterusnya?"

"Yang keempat kerana dia pandai buat reverse parking."

Si rakan menepuk dahi. Terkejut dengan jawapan si rakan.

"Aku jelaskan, aku tak pandai parking kereta begitu. Pada aku sangat susah. Dia seorang yang berhati-hati bila memandu. Dia melengkapi aku. Aku bukan seorang yang begitu berhati-hati walaupun aku masih berhemah."

"Teruskan."

"Yang kelima, aku dan dia berlaga angin."

"Maksud kau?"

"Angin kami tak sama. Aku suka, dia tak suka. Dia suka, aku tak suka. Tapi itulah pelengkapnya. Hubungan kami tidak statik. Sentiasa ada sesuatu yang mencabar. Bagai Yin dan Yang, kontra tapi melengkapi."

"Kau makin pelik."

"Yang keenam, dan kualiti yang ada pada dia yang paling aku anggap bernilai, dia seorang yang menjaga solat."

"Bagaimana kau tahu?"

"Setiap kali aku keluar bersamanya, dia sangat menjaga solat. Menonton wayang, pastikan ada ruang untuk bersolat, sebelum atau selepas. Dan dia tahu di mana tempat untuk bersolat di tempat itu. Pada aku, lelaki yang menjaga solat adalah lelaki yang bertanggungjawab. Dia tahu tanggungjawabnya pada Tuhannya. Maka dia juga tahu tanggungjawabnya pada hamba Tuhannya."

Khali.

"Kenapa kau diam?"

"Aku menanti alasan yang ketujuh. Alasan kau banyak yang tak masuk akal."

Senyum.

"Yang ketujuh, kerana dia seorang sportsman. Sebab, aku tak bersukan. Jangankan bersukan, beriadah petang-petang pun aku tak suka. Jadi, dengan adanya dia, aku harap aku akan bermotivasi untuk memecahkan stok-stok lemak dalam badan aku."

Diam seketika. Si rakan menggeleng kepala. Tidak banyak yang munasabah.

"Sebenarnya aku tak perlu alasan tu semua untuk sayang dia."

"Bukan cintakan dia?"

"Cinta itu satu dan hanya untuk Tuhan. Maka aku sayang padanya kerana sayang aku padanya akan mendekatkan aku pada Tuhanku. Aku juga harap dia sayang pada aku. Kerana cinta itu abadi, yang abadi hanya untuk Yang Abadi. Dia manusia, sampai masa dia akan tinggalkan aku, kalau yang ada padaku untuknya hanya cinta, bila dia pergi, cinta itu turut pergi. Tapi sayang akan selamanya di hati."

Khali sekali lagi.

"Kau makin pelik. Kau tahu, kau orang bukit yang berani mengambil risiko membina rumah di tepi pantai yang paling bergelora. Bila-bila kau akan dilambung ombak."

"Gelora itu ada di mana, kalau aku di bukit pun, aku masih berisiko untuk kena tanah runtuh. Kalau aku di udara, aku masih berisiko untuk disambar petir. Risiko itu di mana-mana."

"Ada sahaja jawapan kau."

"Aku cuba mempositifkan diri."

"Bagaimana kalau dia bukan untuk kau?"

"Itu yang Tuhan takdirkan untuk aku. Terima dan berserah..."

"Kau tak nak mencuba?"

Senyum.

Tidak menjawab.

"Aku doakan yang terbaik untuk kau. Kalau memang kau dan dia ditakdirkan bersama, aku doakan kau bahagia. Andai bukan kau dengan dia, aku masih mengharap kau akan mencari bahagia kau sendiri."

"Terima kasih atas doa kau. Yakinlah, kalau kita tidak bertemu peneman hidup kita di dunia, yakinlah Allah ada janjinya. Jodoh, ajal dan maut, bukan bidang kuasa kita. Teruskan berdoa, kerana ia penyerahan jiwa, ketundukan hamba, keyakinan sepenuhnya pada Yang Esa."

Wednesday, April 1, 2009

Perjuangan Yang Belum Selesai

Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayatkan
dari melihat bangsaku dijajah
Tidak ada yang lebih menyedihkan
dari membiarkan bangsaku dihina

Air mata tiada ertinya
sejarah silam tiada maknanya
sekiranya bangsa tercinta terpinggir
dipersenda dan dilupakan

Bukan kecil langkah wira bangsa
para pejuang kemerdekaan
bagi menegakkan kemuliaan
dan darjat bangsa
selangkah beerti mara
mengharung sejuta dugaan

Biarkan bertatih
asalkan langkah itu yakin dan cermat
bagi memastikan negara merdeka dan bangsa terpelihara
air mata sengsara
mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita

Tugas kita bukan kecil
kerana mengisi kemerdekaan
rupanya lebih sukar dari bermandi
keringat dan darah menuntutnya

Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan
kalau bangsaku asyik mengia dan menidakkan,
mengangguk dan membenarkan,
kerana sekalipun bangganya negara
kerana makmur dan mewahnya,
bangsaku masih melata
dan meminta-minta di negaranya sendiri

Bukan kecil tugas kita
meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
kerana rupanya selain memerdekakan,
mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara

Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
bukankah sejak zaman berzaman
mereka menjadi pelaut,
pengembara
malah penakluk terkemuka?
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap,
menjadi pedagang dan peniaga
selain menjadi ulama dan
ilmuan terbilang?

Bukankah bangsaku pernah mengharung
samudera menjajah dunia yang tak dikenal
Bukankah mereka pernah menjadi
wira serantau yang tidak mengenal
erti takut dan kematian?
Di manakah silapnya hingga bangsaku
berasa begitu kecil dan rendah diri?
Apakah angkara penjajah?
Lalu bangsaku mulai
melupakan kegemilangan silam
dan sejarah gemilang membina empayar

Tugas kita belum selesai rupanya
bagi memartabat dan
memuliakan bangsa
kerana hanya bangsa yang berjaya
akan sentiasa dihormati

Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
bukan sekadar memerdeka dan mengisinya
tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan
buat selama-lamanya

Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
kerana masa depan belum tentu
menjanjikan syurga
bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa

Perjuangan kita belum selesai
kerana hanya yang cekal dan tabah
dapat membina mercu tanda
bangsanya yang berjaya

Dr. Mahathir Mohamad
Mei 1996

Thursday, March 26, 2009

Pilihan

Dalam hidup kita sentiasa berdepan dengan pilihan. Pilihan biasanya berlaku apabila kita mempunyai dua benda yang kita kena ambil satu. Tak boleh nak ambil dua-dua. Ataupun kena pilih untuk berkata ya atau tidak. Memang susah nak buat pilihan apatah lagi bila pilihan yang dibuat itu akan memberi impak yang besar dalam hidup. Pilihan sebenarnya adalah suatu peluang untuk mengubah kehidupan. Kalau setakat nak pillih dua helai baju yang nak dibeli kat pasaraya, nak warna biru ke hijau, tak ada la susah sangat. Tapi kalau nak pilih benda yang akan jadi penentu hidup kita, itu yang susah. Nak pilih nak kahwin dengan A ke B. Hmm...
Kadang-kadang orang buat pilihan yang salah dan menyesal seumur hidup. Contohnya orang yang menagih dadah ataupun penjenayah. Jika mereka diberi pilihan semula, tentu mereka tidak akan memilih untuk ke lembah itu. Kita sentiasa nak buat pilihan yang betul dan tepat. Siapa nak pilih benda yang salah. Tapi kalau tak pilih masalah juga. Buatnya nanti tak ada langsung pilihan yang ketiga, kan sia-sia kita lepaskan pilihan yang ada. Pilihan ada kala menyebabkan kita melukakan hati orang lain. Tapi kalau kita tak pilih, kita juga yang kecewa.
Selepas pilih, kena pula hadapi kesan kepada pilihan kita. Kalau kesannya positif, bahagia. Kalau negatif, merana?? Tak semestinya. Itu tanda kita diuji supaya lain kali kita kena pandai membuat pilihan yang tepat. Perjalanan hidup kita sebenarnya akan menjurus kepada hanya dua pilihan. Syurga atau neraka. Amal dan perbuatan kita yang akan menentukannya. Jadi terpulang pada kita yang mana satu jadi pilihan. Tepuk dada tanya iman.

Monday, March 23, 2009

Revolusi

Well, hidup ibarat roda. Ada masa kita di atas, dan ada masa kita di bawah. Apabila telah terlalu lama berada di atas, berada di bawah memang suatu kesukaran. Saya teringat kata seorang senior saya semasa di kelas latihan Cekak, "Apabila kamu berada di atas pokok, jangan lupa selalu memandang ke bawah supaya apabila kamu terjatuh, kamu tidak akan berasa gayat." Sampai hari ini saya masih terfikir akan makna tersirat dalam ayat beliau.

Ada orang yang memang dilahirkan dengan hidup yang senang. Kata orang putih, 'born with a silver spoon in his/her mouth'. Sekali lagi saya terfikir, mengapa bukan 'born with a gold spoon?' Golongan ini barangkali cukup bernasib baik bagi kita namun sekali lagi kita perlu ingat, hidup ibarat roda. Ada masa putarannya di atas, ada masa andai roda berevolusi, kita mungkin di bawah.

Memang sakit berada di bawah. Cukup dengan segala macam tekanan, penindasan, kesengsaraan yang adakalanya cukup tidak tertahan. Ada antara kita yang tidak tertahan, lalu mengambil jalan singkat untuk menyelesaikannya. Sedangkan jika kita lihat, fahami dan kaji dari aspek spiritual, ujian dan tekanan itu adalah untuk menguji sejauh mana kekuatan iman kita. Sejauh mana kita menghayati rukun iman yang enam itu.

Selalu kita akan berkata pada sahabat yang saat itu ditimpa masalah, "Sabarlah, ada hikmah ni." Dan sahabat kita pun memang sedia maklum akan adanya hikmah di sebalik semua. Namun begitu, tidak cukup dengan memahami akan adanya hikmah tanpa memikirkan apakah hikmah di sebalik semuanya. Setiap sesuatu yang berlaku ada sebab dan musababnya.

Namun, roda akan terus berputar. Sampai suatu ketika, kita akan berada di atas kembali. Putaran alam juga begitu. Bumi berputar di atas paksi untuk kejadian siang dan malam sambil mengelilingi matahari untuk melengkapkan kitaran satu tahunnya. Proses yang sama akan berulang lagi. Itulah kehidupan. Tiada yang sempurna dan seperti yang kita inginkan. 'Menjadi sempurna' dalam konteks kita sendiri lebih utama kerana kita dilahirkan dengan sekeping hati dan cinta...

Thursday, March 19, 2009

Mutiara Kata

1. Ketika satu pintu kebahagiaan tertutup, pintu lain akan dibukakan. Tetapi acap kali kita terpaku terlalu lama pada pintu yang tertutup sehingga tidak melihat pintu lain yang dibukakan bagi kita.
2. Tuhan menginginkan kita bertemu dengan beberapa orang yang salah sebelum bertemu dengan orang yang tepat. Kita harus mengerti bagaimana berterima kasih atas kurniaan itu.
3. Cinta datang kepada mereka yang masih berharap sekalipun pernah dikecewakan, kepada mereka yang masih percaya sekalipun pernah dikhianati, kepada mereka yang masih mencintai sekalipun pernah disakiti hatinya.
4. Sungguh menyakitkan mencintai seseorang yang tidak mencintaimu, tetapi lebih menyakitkan adalah mencintai seseorang dan tidak pernah memiliki keberanian untuk mengutarakan cintamu kepadanya.
5. Love is something that makes you feel happy, sometimes excited, sometimes nervous and sometimes fresh. Love also sometimes hurt so much. Beware! Love can be dangerously painful. So, learn to take the risk of loving someone.....