Wednesday, September 2, 2009

Bicara Dua Sahabat...(drama sebabak)

Yahoo MessengerAhad
11.05 malam

Setelah bertanya khabar dan bertanya itu dan ini, si rakan bertanya kepada rakannya.

"Kau ni peliklah. Dia tu macam tu tapi kau tetap suka dia. Boleh kau bagi aku 7 alasan kenapa kau suka dia," tanya si rakan.

Diam seketika.

"Aku tak perlu begitu banyak alasan untuk suka dia tetapi memandangkan kau dah bertanya, aku akan menjawab. Alasan pertama kerana dia dan aku berkongsi profesion yang sama. Kami sama-sama membangun bangsa."

"Tidakkah dari situ, kau seperti menilai dia? Maksud aku, bahan yang sampai kepada kau boleh kau gunakan untuk menilai dia?"

"Aku tidak melihatnya begitu. Aku menganggap aku meneruskan hasil usahanya. Dia sudah bersusah payah, aku tinggal meneruskan sahaja.Hasil akhir adalah usaha kami bersama."

Diam lagi.

"Ok, itu yang pertama. Yang kedua?"

"Yang kedua, kerana dia seorang yang cerewet..."

"Kau suka orang yang cerewet?"

"Kerana aku seorang yang tidak kisah. Bukankah itu mengimbangi? Cerewet dia penting agar aku sentiasa melakukan yang terbaik. Tidak kisah aku juga penting untuk meredakan keadaan."

"Kau memang mengarut. Sudah, yang ketiga?"

"Kerana dia kalkulator, dan aku sesuai sahaja menjadi panjar wang runcit."

"Tak faham. Jelaskan?"

"Dia berkira-kira dan aku pula seorang yang boros tak ingat. Aku perlu dia untuk mengawal aku. Supaya hujung-hujung bulan aku tidak sesak nafas...hehe."

"Ada sahaja...seterusnya?"

"Yang keempat kerana dia pandai buat reverse parking."

Si rakan menepuk dahi. Terkejut dengan jawapan si rakan.

"Aku jelaskan, aku tak pandai parking kereta begitu. Pada aku sangat susah. Dia seorang yang berhati-hati bila memandu. Dia melengkapi aku. Aku bukan seorang yang begitu berhati-hati walaupun aku masih berhemah."

"Teruskan."

"Yang kelima, aku dan dia berlaga angin."

"Maksud kau?"

"Angin kami tak sama. Aku suka, dia tak suka. Dia suka, aku tak suka. Tapi itulah pelengkapnya. Hubungan kami tidak statik. Sentiasa ada sesuatu yang mencabar. Bagai Yin dan Yang, kontra tapi melengkapi."

"Kau makin pelik."

"Yang keenam, dan kualiti yang ada pada dia yang paling aku anggap bernilai, dia seorang yang menjaga solat."

"Bagaimana kau tahu?"

"Setiap kali aku keluar bersamanya, dia sangat menjaga solat. Menonton wayang, pastikan ada ruang untuk bersolat, sebelum atau selepas. Dan dia tahu di mana tempat untuk bersolat di tempat itu. Pada aku, lelaki yang menjaga solat adalah lelaki yang bertanggungjawab. Dia tahu tanggungjawabnya pada Tuhannya. Maka dia juga tahu tanggungjawabnya pada hamba Tuhannya."

Khali.

"Kenapa kau diam?"

"Aku menanti alasan yang ketujuh. Alasan kau banyak yang tak masuk akal."

Senyum.

"Yang ketujuh, kerana dia seorang sportsman. Sebab, aku tak bersukan. Jangankan bersukan, beriadah petang-petang pun aku tak suka. Jadi, dengan adanya dia, aku harap aku akan bermotivasi untuk memecahkan stok-stok lemak dalam badan aku."

Diam seketika. Si rakan menggeleng kepala. Tidak banyak yang munasabah.

"Sebenarnya aku tak perlu alasan tu semua untuk sayang dia."

"Bukan cintakan dia?"

"Cinta itu satu dan hanya untuk Tuhan. Maka aku sayang padanya kerana sayang aku padanya akan mendekatkan aku pada Tuhanku. Aku juga harap dia sayang pada aku. Kerana cinta itu abadi, yang abadi hanya untuk Yang Abadi. Dia manusia, sampai masa dia akan tinggalkan aku, kalau yang ada padaku untuknya hanya cinta, bila dia pergi, cinta itu turut pergi. Tapi sayang akan selamanya di hati."

Khali sekali lagi.

"Kau makin pelik. Kau tahu, kau orang bukit yang berani mengambil risiko membina rumah di tepi pantai yang paling bergelora. Bila-bila kau akan dilambung ombak."

"Gelora itu ada di mana, kalau aku di bukit pun, aku masih berisiko untuk kena tanah runtuh. Kalau aku di udara, aku masih berisiko untuk disambar petir. Risiko itu di mana-mana."

"Ada sahaja jawapan kau."

"Aku cuba mempositifkan diri."

"Bagaimana kalau dia bukan untuk kau?"

"Itu yang Tuhan takdirkan untuk aku. Terima dan berserah..."

"Kau tak nak mencuba?"

Senyum.

Tidak menjawab.

"Aku doakan yang terbaik untuk kau. Kalau memang kau dan dia ditakdirkan bersama, aku doakan kau bahagia. Andai bukan kau dengan dia, aku masih mengharap kau akan mencari bahagia kau sendiri."

"Terima kasih atas doa kau. Yakinlah, kalau kita tidak bertemu peneman hidup kita di dunia, yakinlah Allah ada janjinya. Jodoh, ajal dan maut, bukan bidang kuasa kita. Teruskan berdoa, kerana ia penyerahan jiwa, ketundukan hamba, keyakinan sepenuhnya pada Yang Esa."

No comments:

Post a Comment